Thursday, January 28, 2010

Antara Perbezaan Pendapat dan Percambahan Pendapat; yg mana lebih baik?

Apabila mengutarakan sesuatu pendapat, seseorang bebas untuk menyampaikan pandangan dan buah fikirannya. Sebagai contoh mengutarakan pendapat mengenai gagasan 1Malaysia – bersetuju atau tidak? Pendapat mengenai Royalti Minyak Petronas kepada negeri Kelantan – berhak atau tidak? Pendapat mengenai penggunaan Kalimah Allah bagi bukan Islam – sesuai atau tidak? Kesemua contoh isu di atas menuntut banyak idea dan banyak pihak mengutarakan pendapat.

Ada pihak mengatakan perbezaan pendapat adalah baik untuk mendapatkan sudut pandangan yang lebih luas. Ini perlu kerana tidak semua perkara diketahui oleh semua orang. Dia perlu berkongsi dan mendengar pendapat orang lain sebagai pertimbangan, biasanya bagi tujuan untuk mendapatkan keputusan yang lebih bernas. Pendapat biasanya dikeluarkan berdasarkan persepsi dan pengalaman seseorang dalam sesuatu perkara atau isu. Lebih luas pembacaan dan pengalaman, maka lebih mantap persepsi yang diutarakan. Sekiranya tahap pembacaan dan pengalaman menjadi syarat untuk mengutarakan pendapat, maka tanggapan ini kurang tepat. Ada perkara yang lebih penting daripada itu iaitu emosi. Dalam banyak ruang semasa mengutarakan pendapat, pembacaan dan pengalaman (intelektual) bercampur dengan emosi. Emosi biasanya memainkan peranan bersama keupayaan intelektual. Orang yang bijak selalunya mengetepikan emosi dan melebihkan intelek apabila memberikan pandangan. Wujudnya pandangan pro dan kontra adalah disebabkan seseorang itu suka atau tidak suka kepada sesuatu perkara. Contohnya isu polemik isu penggunaan kalimah Allah – pro dan kontranya memang ada. Adakah ia berlaku kerana suka atau tidak sukanya kita terhadap orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah, atau kerana mempertimbangkan manfaat dan mudarat apabila orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah. Sememangnya kalimah Allah sudah popular sejak dahulu lagi di kalangan penganut Islam dan bukan Islam, tetapi itu bukan pokok perbincangan saya pada hari ini. Pokok perbincangan saya ialah mengenai dasar berpandangan atau berpendapat.

Dalam mencari kebenaran dan membuat keputusan, kita tidak dapat mengelakkan diri dari berfikir. Fikir menggunakan akal fikiran yang telah dianugerahkan Allah kepada kita. Secara fitrahnya, manusia mempunyai alam fikiran yang berbeza dengan haiwan dan setiap manusia mempunyai alam fikiran yang berbeza pula antara mereka kerana menurut perkembangan akal sejak kecil hingga dewasa yang berlainan. Banyak kajian mengatakan alam fikiran manusia dan alam fikiran haiwan banyak bezanya. Dengan sebab itu manusia lebih bijak berfikir daripada haiwan, lebih rasional, dapat berbicara dan faham komunikasi. Berbeza dengan haiwan, alam fikiran mereka ditentukan oleh fitrah mereka untuk makan, minum, berkembang biak dan ikhtiar survival sahaja. Tidak lebih daripada itu. Manusia pula fikirannya sentiasa berkembang dari semasa ke semasa, lebih kompleks dan lebih sistematik. Dari kelebihan yang ada pada akal manusia ini, spesis manusia berupaya untuk membangun tamadun ilmu dan peradaban di muka bumi. Dengan sebab itu, manusia telah dilantik Allah sebagai khalifah untuk memakmurkan bumi menggunakan kudrat dan akalnya. Selain daripada itu, ada masanya manusia perlu berkomunikasi dan berbincang sesama mereka. Ada masanya, manusia berselisih dan berbeza pendapat apabila berkomunikasi. Ada masanya tidak berselisih, walhal mereka bersepakat. Ada masanya mereka bersepakat, dan pendapat itu bercambah (bertambah). Mana yang lebih baik, berbeza, bersepakat atau bercambah pendapat. Tradisi Ilmu dalam Islam mengalu-alukan ikhtilaf (perbezaan). Tetapi apakah hakikat sebenar ikhtilaf itu? Di manakah ia diizinkan dan di manakah ia tidak diizinkan? Adakah boleh berbeza pendapat sepanjang masa sehingga menyentuh perkara pokok? Tentulah perbezaan pendapat dalam perkara pokok seperti akidah dan hukum-hakam tidak diizinkan melainkan dalam perkara furu’ (cabang) untuk mengelakkan kekeliruan dan kesesatan.

Bagi saya, percambahan pendapat perlu sentiasa digalakkan dalam masyarakat kerana ia lebih baik daripada tabiat berbeza pendapat bagi mencetuskan inovasi dan kreativiti dalam banyak bidang (politik, ekonomi dan sosial). Khalayak pembaca mungkin ‘berbeza pendapat’ pula dengan saya dengan mengatakan sebaliknya dengan bersandarkan kata-kata Nabi s.a.w. ‘Perbezaan itu Rahmat’ bagi umat. Memberikan pendapat tidaklah semudah bersandarkan hadis itu. Kita perlu juga mempertimbangkan juga faktor perpaduan dan kesepakatan dalam umat. Bukankah dalam Al-Quran ada menyebut: “Berpeganglah kamu semua kepada tali Allah dan janganlah berpecah belah…” ?

Sudahnya berbeza pendapat yang keterlaluan mencipta jurang pemikiran di antara mereka.Dan ini mencetuskan perpecahan antara mereka disebabkan perbezaan pandangan.

Perbezaan suatu Rahmat itu dalam erti kata perbezaan idea,dan rasanya bukan berbeza pendapat. Perbezaan idea mencetuskan inovasi dan kreativiti. Sekiranya perbezaan pendapat berterusan, saya bimbang rakyat tidak bersepakat lagi. Bila satu-satu isu timbul,mereka sibuk cantas-mencantas. Cas keting wujud dalam pemberian pandangan. Ini amalan yang tidak sihat.

No comments: